Bukan SBT Turut Dapat Insentif
Written by Web Administrator   
Saturday, 06 March 2010 21:00

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekolah yang berjaya meningkatkan pencapaian dari semasa ke semasa akan diberi insentif sama ada dalam bentuk ganjaran wang atau peluang kenaikan pangkat bagi guru besar atau pengetua termasuk guru-guru sekolah terbabit mulai tahun depan. Pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana beliau juga turut mengiktiraf sumbangan guru-guru yang memberikan kerja sama meningkatkan prestasi sekolah.

Kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru. Tidak kira sekolah bertaraf SBT atau pun tidak, di bandar atau luar bandar, kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf.

Katanya lagi, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini sempena Hari Guru. Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.