Pemantapan Perancangan Strategik
Written by Web Administrator   
Saturday, 06 March 2010 11:00

Bagi memastikan setiap kejayaan dapat dicapai dengan baik, perancangan juga perlu baik. Lebih daripada itu, perancangan juga bukan setakat cantik dan hebat di atas kertas tetapi perlu dilaksanakan. Bagi negeri Pahang, program yang masih dipertahankan malah sentiasa disegarkan semangatnya iaitu Program PKKP adalah instrumen yang digunakan dalam usaha mencapai kejayaan dalam pendidikan. Setiap guru perlu menghayati apa hasrat dan cita-cita yang terkandung dalam Program PKKP.

Sehubungan dengan itu tuan Pengetua, Encik Mohammad Badrudin bin Yusoff mengadakan satu taklimat khas bertajuk 'Semarak PKKP' kepada semua guru dalam satu sesi Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) bagi kali ke-2 di Dewan Al Ghazali. Dalam sesi taklimatnya beliau menekankan pentingnya komitmen guru terhadap tugas bagi memastikan pelajar mencapai kejayaan yag cemerlang serta dapat meminimumkan peratus kegagalan di kalangan pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Guru juga perlu ada perancangan ke arah merealisasikan kejayaan yang diharapkan. Untuk itu dokumen PKKP termasuk Perancangan Strategik perlu disediakan dengan kaedah yang betul dan bukan sekadar dokumen yang menjadi hiasan fail-fail.

Dalam sesi Ladap ini juga, ketua-ketua panitia membentangkan Perancangan Strategik panitia masing-masing fokus kepada program-program yang berkesan menyumbang ke arah peningkatan pencapaian pelajar. Pengetua juga turut memberikan komen-komen beliau semasa pembentangan tersebut bagi memperbaiki dan memantapkan lagi perancangan yang dibuat.