STF Dihentikan
Written by Web Administrator   
Monday, 08 February 2010 16:44

"Tahun ini Skim Tuisyen Felda (STF) tiada," demikian kata Pengetua semasa berucap pada perhimpunan mingguan pagi di Dewan Al Ghazali pada pagi ini. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab mengapa ia dihentikan dan menyatakan bahawa itu adalah keputusan pihak Felda. Namun begitu, perkara tersebut bukanlah menjadi penghalang bagi sekolah untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

 

Sebelum STF diperkenalkan lagi, pihak sekolah mempunyai program-program khas yang tersendiri bagi memastikan pelajar-pelajar sekolah ini mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Selain itu beliau juga mengumumkan kelas tambahan bagi pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 akan bermula selepas cuti Tahun Baru Cina. Para pelajar juga dikehendaki memiliki buku kerja yang akan digunakan untuk latihan bagi kelas tambahan tersebut. Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG akan membuat perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga pelajar bagi memaklumkan perkara itu.

Kelas Intensif bagi pelajar-pelajar tingkatan 2 dan 4 pula akan dilaksanakan, juga dengan kerjasama daripada pihak PIBG bagi memastikan golongan pelajar ini tidak tercicir dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang penting pada tahun berikutnya. Kelas ini dijangka akan dikenakan bayaran yang akan ditentukan kadarnya kemudian.

Pengetua juga mengarahkan kepada guru membuat laporan prestasi pelajar selepas ujian bulan Mac dan akan membuat perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga pelajar bagi membincangkan prestasi pelajaran anak masing-masing berdadsarkan ujian yang mereka jalani. Beliau juga mengarahkan para pelajar membuat persediaan bagi menghadapi ujian bulan Mac yang akan bermula tidak lama lagi.